Persetujuan Ruang Selamat

Persetujuan ini digunakan untuk semua acara yang dianjurkan bersempena dengan Festival 7 Hari 7 Malam. Untuk mewujudkan sebuah ruang yang memupuk perbincangan dan perkongsian idea secara bebas dan sihat bagi semua pihak, mereka yang terlibat dalam tingkah laku kasar atau menindas akan diminta untuk meninggalkan ruang tersebut. 

Kami mendorong dan menggalakkan semua peserta untuk memahami serta menghormati persetujuan ini, dan mengambil tindakan autonomi sekiranya anda menyedari bahawa ada peserta yang terlibat dalam tingkah laku yang kasar atau menindas dan melanggar persetujuan ini. Penganjur juga akan membantu untuk tindakan selanjutnya mengikut keperluan. Kami mendefinisikan perkara yang berikut sebagai tingkah laku kasar yang tidak boleh ditolak ansur di ruang ini: 

Salahlaku Lisan

  • Penghinaan peribadi:

Ini bermaksud istilah menghina yang secara khusus diterapkan pada individu, atau kritikan yang dibuat kasar dengan ditegur atau dinyatakan secara agresif, dengan hasil dari menimbulkan rasa sakit hati, intimidasi atau penghinaan. Ini berlaku tanpa mengira sama ada hasilnya disengajakan. Tingkah laku itu bermasalah kerana ia merupakan cara untuk memaksa sesuatu melalui penggunaan intimidasi dan bukannya akal, dan ini berfungsi untuk membungkam perbezaan pendapat dan menyekat perbincangan yang membina dan wajar.

Ini tidak bermaksud: Larangan mengejek, pujian atau ucapan peribadi dalam perbualan antara rakan-rakan yang tahu dan menghormati batasan satu sama lain. Namun, ketika melakukan gurauan olok-olok seperti itu, kita harus selalu mengetahui konteks kita – di mana kita berada, siapa lagi di sekeliling kita dan bagaimana apa yang kita katakan mempengaruhi suasana umum ruang tersebut. Tidak cukup dengan menganggap bahawa semua orang mengetahui niat kita, atau bahkan menyatakan bahawa kita tidak bermaksud apa-apa dengan penggunaan istilah yang menghina kita, atau bahawa mereka digunakan secara ironis. Kepercayaan yang diberikan kepada seseorang yang menggunakan bahasa menghina atau agresif secara bergurau harus diperoleh dan dipertahankan, dan tidak secara automatik disebabkan oleh orang yang mempunyai niat baik.

  • Bahasa yang menindas:

Ini adalah bahasa yang digunakan dalam perbualan umum, tidak semestinya berhubungan dengan orang tertentu, yang menghina, menyatakan prasangka atau memperkuat prasangka tentang sekelompok orang yang dipinggirkan atau ditindas oleh masyarakat umum. Ini termasuk (tetapi tidak terhad kepada) mana-mana bahasa rasis, seksis, homofobik, transfobik atau anti akses untuk orang kurang upaya. Hal ini bukan semata-mata untuk ‘pembaikan politik’ atau takut mengkritik nilai-nilai individu lain. Masalah sebenar dengan bahasa seperti itu adalah menormalkan prasangka dan mencipta kembali hierarki yang ingin kita lawan, serta mewujudkan ruang yang tidak disukai oleh siapa pun di luar demografi yang sempit. 

Ini tidak bermaksud: Menyusun senarai kata dan frasa yang tidak dapat diterima untuk mengatasi yang tidak diingini – kita tidak semestinya mengharamkan kata-kata, kita perlu menghadapi cabaran terhadap bahasa kita tanpa bersikap mempertahankan diri, bersedia untuk meminta maaf atas kesalahan yang telah dilakukan dan ambil peluang untuk mempertimbangkan semula bahasa kita, implikasi di sebalik itu dan kesannya terhadap orang lain. Ekspresi bebas berakhir pada titik di mana ia menjadi penindasan terhadap orang lain.

  • Gangguan lisan, seksual atau sebaliknya:

Ini termasuklah mengeluarkan kata-kata yang tidak diingini dan tidak sesuai (sama ada kata-kata pujian atau sebaliknya) mengenai penampilan seseorang atau sifat-sifat peribadi mereka, atau meminta sesuatu daripada mereka, sama ada berbentuk seksual atau tidak, yang mana sebelum ini telah ditolak, diabaikan atau tidak dilayan dengan hormat.

Ini tidak bermaksud: Larangan untuk mengembangkan hubungan romantik, seksual atau memikat seseorang dengan izin dan persetujuan semua pihak yang terlibat. Walau bagaimanapun, festival ini bukanlah kelab bertemu jodoh, dan menggunakan ruang ini secara berterusan untuk memulakan sebarang langkah demi memikat seseorang semasa acara berlangsung adalah tidak sesuai, dan boleh membuatkan pengguna lain ruang ini menjadi tidak selesa dengan kelakuan tersebut. Kembangkan hubungan peribadi anda pada waktu dan tempat lain yang lebih sesuai, di mana tiada siapa pun yang cenderung berasa terperangkap, dipaksa, dipulaukan atau malu dan segan, dan pastikan sesiapa sahaja yang sedang anda pikat mempunyai segala peluang dan ruang untuk keluar dari situasi tersebut atau menghentikan secara serta-merta ke atas segala aktiviti yang boleh membuatkan mereka berasa tidak selesa. Ulang suara: sentiasa anggap bahawa segala respon yang diberikan oleh mereka yang berasa tidak selesa, sama ada dalam bentuk yang jelas atau tidak, adalah satu penyataan “Tidak” yang tegas dengan serta-merta, tanpa perlu sebarang penjelasan yang lebih lanjut.

  • Gangguan lisan secara bertulis:

Isu atau masalah yang sama sering muncul dalam komunikasi bertulis, sama ada dalam senarai mel, forum dan rangkaian media sosial atau e-mel peribadi dan kiriman teks seperti sistem pesanan ringkas dan sebagainya. Salah faham dan pelanggaran batas lebih mudah terjadi dalam komunikasi bertulis dari segi bahasa yang kesat, kasar dan menindas, kerana perkara-perkara yang biasanya akan membuatkan kita terhalang dari konfrontasi secara bersemuka (seperti kegelisahan dan keresahan sosial, tindak balas negatif secara segera dan kesedaran bahawa pihak lain sedang dalam kesusahan) adalah tidak begitu ketara dalam medium ini. Medium ini juga mempunyai kelebihan untuk dibahaskan – ramai orang mendapati bahawa adalah lebih mudah untuk mengekspresikan diri mereka secara jelas dan logik dalam bentuk penulisan, untuk meletakkan pemikiran mereka secara masak-masak dan mendalam dan mendapatkan keyakinan untuk bersuara dalam sebuah forum awam. Tetapi peraturan yang sama harus tetap dihormati untuk mengelakkan terjadinya penghinaan secara peribadi, bahasa yang kasar, kesat dan menindas, serta segala bentuk gangguan atas sebab yang sama seperti di atas.

Ini tidak bermaksud: Anda tidak boleh membincangkan isu-isu politik atau mempertikaikan perkara yang telah dikatakan oleh seseorang semasa sesi melalui e-mel. Sentiasa beringat kepada kedudukan dan hak istimewa anda berbanding individu yang anda akan e-mel nanti. Adakah bertindak balas terhadap sesuatu kerana anda dan kedudukan anda dalam masyarakat sedang dicabar? Adakah anda mengharapkan individu dari golongan rentan dan terpinggir untuk mendidik anda atau berbahas dengan anda dengan cara yang akan membahayakan keselamatan mereka? Bersikap defensif apabila anda dikritik akan menyebabkan anda gagal untuk belajar sesuatu atau berubah menjadi lebih baik. Sama juga, jika sesuatu yang telah anda nyatakan adalah membahayakan keselamatan atau merendah-rendahkan seseorang tanpa nilai perikemanusiaan, maka jangan terkejut apabila individu tersebut bertindak balas dengan penuh kemarahan dan mengecam anda.

Sentiasa mengedepankan perkara atau isu yang anda tidak setuju atau tidak selesa untuk dibincangkan, berbanding siapa yang menyatakannya (atau terhadap individu yang anda tidak gemari secara peribadi). Jangan anggap bahawa anda mengetahui pendapat atau motif orang lain melebihi pendapat yang telah mereka nyatakan dengan jelas. Anda hanya boleh berhujah dengan apa yang telah dikatakan oleh seseorang, bukan dengan apa yang mungkin mereka fikirkan. Berhujahlah secara sihat dengan niat dan tujuan untuk mengembangkan lagi perbincangan atau idea semua orang yang terlibat, termasuklah idea anda sendiri, daripada berusaha untuk mematahkan hujah seseorang atau memaksa mereka untuk menarik balik pendapat mereka. Tidak akan ada ‘pemenang’ sepanjang festival berlangsung, dan kita semua bertanggungjawab untuk memastikan yang akan wujud hanyalah perbincangan dan perkongsian yang produktif, dan tidak akan merugikan mana-mana pihak. Ramai orang jarang sekali menolak atau menarik balik pendapat setelah mereka menyatakannya secara terbuka dalam bentuk penulisan. Terima hakikat bahawa walaupun anda telah berusaha sedaya upaya memujuk seseorang untuk mengubah fikiran mereka, mereka mungkin tidak akan mengakuinya secara terbuka dan serta-merta, dan anda mungkin tidak akan pernah mengetahuinya.

Penyataan terhadap Transfobia

Festival 7 Hari 7 Malam berkomitmen untuk menjadi sebuah wadah dan zon yang tidak akan sama sekali bertolak ansur terhadap sebarang bentuk ekspresi/ungkapan/luahan yang berbaur transfobia. Cempaka Collective sebagai penganjur mengambil pendirian mutlak untuk bersolidariti bersama semua golongan trans, terutamanya para transpuan dan trans-feminin yang sering menjadi sasaran utama kepada pelbagai bentuk transfobia. 

Transfobia tidak dibenarkan langsung untuk mendapat tempat dalam perjuangan queer-anarko-feminisme kami. Kami tidak akan membenarkan dan membiarkan sebarang bentuk perilaku transfobik disebarkan sepanjang festival ini berjalan, dan kami tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan mana-mana individu yang melanggar persetujuan ini dari keseluruhan festival sebagai langkah untuk memastikan semua acara berjalan dengan lancar dan supaya semua pihak yang terlibat saling hormat-menghormati antara satu sama lain.